Salam...
Hari ni genap 2 minggu Muhammad Fahim b. Syaharuddin tak pakai dryper waktu siang. Aku latih dia kencing dan berak dalam tandas. Alhamdulillah ketakutan aku beransur hilang bila hari ke-2 dia dah pandai pergi tandas sendiri walaupun terjerit-jerit dalam tandas. Mula-mula tu payah juga sebab dia tak pandai nak bagitau kalau nak kencing atau berak.
Hari pertama dia tak berak-berak sampai malam. Itu pun sebab aku pakaikan dryper. Dia takut nak mencangkung atau duduk kat dalam tandas. Kesian juga pada dia bila aku marah dia sebab tak nak bagitau dia nak berak. Tapi aku faham kali pertama mesti setiap dari kita akan berperasaan begitu.
Senyum aku melihat keletah anak bujang kecil aku sebab tak le susah sangat nak atur dia buang air. Cuma pada pendapat aku, seseorang ibu itu, mestilah berdisiplin dan mempunyai keazaman yang tinggi. Tambahan faktor kerjaya juga membuat kenkadang seseorang ibu itu malas.
Lepas ni bajet untuk dryper Fahim untuk bulan akan datang boleh dijimatkan dan akan digunakan untuk tujuan yang lain. Tiada apa yang lebih bermakna pada aku bila melihat pembesaran anak-anak di depan mata. Hmmmm..nampaknya lepas ni aku dah boleh menarik nafas lega sebab tak perlu risau kalau dia terkencing merata-rata. paling mencuit hati bila kali pertama dia berak di tandas.. Geli hati pun ada sebab dia dok mencangkung berak dalam seluar dah tu tak berani nak cakap. Punyalah kesian aku tengok dia menangis ingatkan ape rupanya terberak dalam seluar.
Apa pun aku puas hati dengan pencapaian anak sulung aku ni. Cepat belajar. Lepas ni aku dah boleh harap dia untuk henjut buai adik dia, mandi pun dah pandai sabun badan sendiri. Kemas tempat tidur pun dah pandai.
Syukur kehadrat Ilahi kerana mengurniakan aku anak-anak yang sempurna akal dan fizikal... Alhamdulillah
Ini petikan artikel dari My Metro
Famili: Latih anak guna tandas
Oleh Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my
2010/04/21
Tentu amat menyedihkan apabila sofa yang baru itu terpaksa dicuci disebabkan najis anak. Tetapi jangan jadikan itu sebagai penghalang untuk mengajar anak ke tandas.
Menurut kaunselor laktasi daripada www.sarakids.com, Farah Farhan Abdul Fattah, yang juga ibu kepada dua anak, Puteri Sara Azalea, 3, dan Puteri Syasya Adalea, 2, sebagai ibu yang sibuk bekerja mengajar latihan anak ke tandas me merlukan keprihatinan serta tempoh berlanjutan.
Ini kerana ibu memerlukan kesabaran ketika mendidik anak menjalani latihan ke tandas.
Sebelum membeli tandas duduk, ibu perlu mengenali tanda yang menunjukkan anak sudah bersedia ke tandas sendiri. Antaranya ialah:
- Apabila dia sering cakap, “Mama, dah basah” atau “Bibik, nak tukar lampin lain”. Ketika ini anak sudah mula rasa kurang selesa dengan kebasahannya.
- Sudah mula membuka lampin pakai buang sendiri dan mengambil lampin lain. Si anak sudah mula rasa kurang selesa dengan lampin pakai buang kotor.
- Anak mula bangun tengah malam dan memberitahu ibu untuk menukar lampin pakai buang lain atau memberitahu sudah ‘poo poo’ sedangkan sebenarnya tidak.
- Apabila ke sekolah, anak selalu berkata, “Eeee...malu pakai lampin”. Ini menunjukkan anak sudah ada perasaan malu untuk memakai lampin pakai buang.
- Memakai lampin pakai buang lebih sukar untuk melatih anak ke tandas berbanding memakai lampin kain. Ini kerana lampin kain akan menyebabkan kanak-kanak berasa basah dan ingin segera menukar lampin.
Menurut Farah Farhan, apabila anak sudah menunjukkan tanda berkenaan, suami isteri perlu bekerjasama untuk mengajar anak menjalani latihan ke tandas.
Katakan pada anak, “Ini maknanya kakak dah boleh belajar buang air kecil sendiri”.
Mendidik anak harus dimulakan dengan kesungguhan. Perkara pertama yang boleh dilakukan ialah:
* Belikan tandas duduk kanak-kanak supaya latihan berjalan lancar.
Menurut Farah Farhan, banyak kebaikan menggunakan tandas duduk kanak-kanak ini. Anak akan lebih berdikari kerana ibu bapa tidak perlu mendukung anak ketika dia ingin membuang air kecil di dalam tandas dewasa.
Sebagai motivasi, anak akan lebih bertanggungjawab apabila mengetahui tandas duduk itu adalah kepunyaannya dan lebih bersemangat untuk menggunakannya.
Namun, tandas duduk ini tidak sesuai untuk anak lelaki disebabkan ada anak lelaki diajar untuk membuang air kecil secara berdiri.
Namun untuk latihan membuang air besar, menggunakan tandas duduk sangat fleksibel dan mampu melatih anak untuk lebih berdisiplin.
* Ajar anak mencuci sendiri bekas yang sudah dipenuhi najis di bawah pengawasan ibu bapa.
* Minta pembantu rumah alihkan semua karpet. Ini bagi mengelak anak terbuang air kecil di atas karpet mahal anda.
“Ya, memang betul pada hari pertama di hadapan peti ais, tiba-tiba anak saya, Puteri Sara Azalea berkata, ‘Eeh, ter kencing la mami’. Akibatnya Farah terpaksa membersihkan lantai rumah seminggu.
* Ibu harus memberitahu kepada anak rasa apabila ingin membuang air dengan sudah membuang air. Ini kerana dua perkara ini adalah berbeza.
Bercakap dalam bahasa sendiri mengikut kebiasaan apabila berbual dengan anak kemudian minta anak anda mem beritahu bila dia ingin membuang air atau sudah membuang air.
* Sentiasa prihatin dengan masa. Contohnya, jika dia sudah lama tidak membuang air kecil, ajak dia ke tandas untuk membuang air kecil.
Biasakan bertanya setiap satu jam atau terus bawa anak ke tandas dan tunggu sehingga dia membuang air. Aktiviti menggembirakan di dalam bilik air ialah bermain air selepas membuang air.
* Beri pujian selepas dia pandai membuang air kecil.
“Saya katakan kepadanya dia memang sudah besar dan selepas ini dia boleh mengajar adiknya ke tandas pula”. Peluk dan cium anak jika dia berjaya ke tandas.
* Berdoa dan bertawakal adalah sebaiknya. Beri dia masa jika ada hari dia tidak mahu ke tandas dan ada masa dia masih mahu memakai lampin.
Sebagai ibu, Farah Farhan tidak akan memaksa, tetapi lebih kepada pendekatan memujuk.
* Di sekolah jika anak masih memakai lampin, berbincang dengan guru kelas untuk melatihnya ke tandas. Begitu juga jika ditinggalkan dengan pengasuh atau pembantu rumah.
Panduan dan cabaran:
- Ibu hendaklah sentiasa bersabar mengendalikan anak yang sedang belajar ke tandas. Semuanya memerlukan masa. Ibu bapa tidak boleh mengharap anak mereka terus faham dan belajar dengan cepat. Biar mereka menjadi diri mereka sendiri.
- Apabila ada kalanya anak mengalami sembelit, mereka mungkin sedikit terganggu dan takut untuk melalui latihan ke tandas. Yakinkan mereka dan sentiasa berada di sisi mereka.
- Belikan mereka buku mengenai tandas duduk yang menunjukkan kepelbagaian gambar kanak-kanak yang se dang belajar ke tandas. Tanyakan apa yang mereka tahu mengenai tandas.
- Berdoa paling baik dalam apa jua keadaan. Mintalah pertolongan daripada yang Esa untuk permudahkan urusan ini.
“Saya yakin, tidak lama lagi Sara sudah tidak memerlukan lampin. Saya yakin, Sara saya akan belajar dan pandai ke tandas. Itulah doa saya”,” katanya.
Jumpa lagi...